Saturday, 22 July 2017

Chicago Typewriter_xyla



CHICAGO TYPEWRITER

oleh xyla


Rating Keseluruhan Drama: (9+10+9+5+5) =38/4=9.5)

Kritik Keseluruhan: "Chicago Typewriter bukanlah drama biasa tetapi ia berada dalam tahapnya yang tersendiri. Usai menonton kesemua episod Chicago Typewriter membuatkan drama-drama lain pada tahun 2017 setakat ini kelihatan agak 'lame'. Chicago Typewriter seumpama hidangan makanan yang kelihatan biasa pada luarannya, tetapi setelah menikmatinya ia memberikan suatu rasa yang luar biasa".


1. Cerita  (9/10)

Secara keseluruhannya, Chicago Typewriter adalah drama yang paling underrated dan terbaik setakat ini bagi saya untuk tahun 2017. Ia sebuah drama yang menggabungkan unsur-unsur romantik, komedi, cinta, persahabatan, misteri, supernatural, fantasi dan sejarah dengan cantik. Plot cerita yang menarik, mutu lakonan yang berada pada kelas tersendiri ditambah dengan sinematografi yang cantik dan OST yang sedap didengar melengkapkan lagi keindahan naskhah ini.  

Plot berkisar mengenai hubungan antara 3 watak utama iaitu Han Se Joo. seorang penulis novel yang digambarkan setaraf Stephen King yang mengalami masalah kekeringan idea ('writer block'), Jeon Seol peminat nombor satu Han Se Joo yang juga seorang doktor haiwan yang handal di dalam sukan menembak tetapi mengalami trauma setiap kali memegang senapang, serta Yoo Jin Oh, hantu yang terperangkap di dalam mesin taip yang dihantar oleh seorang pemilik cyber cafe dari Chicago. 

Menariknya ketiga-tiga watak ini adalah jelmaan 3 orang sahabat karib yang merupakan aktivis sebuah pertubuhan pembebasan daripada penaklukan Jepun pada tahun 1930an iaitu Joseon Youth Alliance pada hayat lampau mereka. Dua plot cerita bergerak serentak iaitu plot pada masa kini yang lebih ringan dan santai serta plot cerita pada era 1930an yang lebih berat. Melalui plot masa kini, penulis mengambil kesempatan ini untuk menyentuh isu-isu dalam bidang penulisan seperti plagiarisme dan penggunaan penulis bayangan ('ghostwriter') yang menyalahi etika penulisan. 


Turut disentuh ialah kesan bahan penulisan kepada masyarakat seperti yang ditonjolkan dalam isu 'stalker' dalam episod 2 dan dilema penulis sama ada menulis mengikut kehendak alur semasa atau mempunyai kebebasan untuk menulis mengikut apa yang mereka kehendaki. Manakala plot untuk era 1930an dilihat lebih menarik kerana memaparkan perjuangan para aktivis yang sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi memerdekakan tanah air mereka untuk generasi akan datang. 

 

Di sinilah kita dapat menikmati inti cerita kepada drama ini. Menyaksikan plot cerita era 1930an yang lebih dramatik umpama menonton sebuah filem 'blockbuster' yang berunsur sejarah. Kedua-dua plot cerita ini mampu digabungkan dan disimpulkan oleh penulis dengan baik berupa pengakhiran yang mantap . 

 Banyak dialog yang memberikan mesej yang bermakna antaranya dialog di antara Han Se Joo dan Yoo Jin Oh semasa 'trio date' mereka bahawa kemakmuran yang dikecapi sekarang adalah hasil daripada perjuangan generasi yang terdahulu dalam menuntut kemerdekaan serta monolog daripada Yoo Jin Oh untuk menghargai masa yang ada sekarang untuk orang-orang tersayang semasa ketiga-tiga mereka menghabiskan masa bersama di rumah Han Se Joo. Banyak momen-momen menarik dan sukar dilupakan terutamanya pada 2 episod terakhir. Babak-babak tahun 1930an yang lebih berat mampu diseimbangkan dengan baik oleh babak-babak komedi yang berlaku pada masa kini. Kesimpulannya Chicago Typewriter bukanlah drama biasa tetapi ia berada dalam tahapnya yang tersendiri. Usai menonton kesemua episod Chicago Typewriter membuatkan drama-drama lain pada tahun 2017 setakat ini kelihatan agak 'lame'. Chicago Typewriter seumpama hidangan makanan yang kelihatan biasa pada luarannya, tetapi setelah menikmatinya ia memberikan suatu rasa yang luar biasa.

                                     
2. Keberkesanan Lakonan (10/10) 

Ketiga-tiga lead (Yoo Ah In,Im Soo Jung dan Go Kyung Pyo) mempamerkan lakonan yang cemerlang terutamanya Yoo Ah In yang membuatkan kita sayang terhadap keenam-enam watak yang mereka lakonkan (setiap seorang dari mereka melakonkan 2 watak). Chemistry trio ini sangat menjadi di dalam kedua-dua era yang mereka lakonkan. Kredit juga diberikan kepada pelakon-pelakon pembantu yang menjayakan watak masing-masing dengan baik. Sesetengah babak memerlukan 'subtle acting' contohnya babak selepas luahan perasaan Ryu Soo Hyeon terhadap Seo Hwi Young sebelum misi terakhir mereka mengenai harapannya jika mereka dilahirkan semula selepas merdeka. Babak diakhiri dengan tangan mereka yang sedikit bersentuhan sewaktu Hwi Young melangkah meninggalkan Soo Hyeon yang secara simboliknya menggambarkan yang dia terpaksa mengorbankan perasaannya terhadap Soo Hyeon pada hayat itu demi melaksanakan misi yang lebih besar. Tiada kata-kata yang mampu diluahkan tetapi melalui air muka mereka sahaja kita dapat merasakan yang mereka berperang dengan perasaan masing-masing. Dengan air mata yang bertakung di kelopak mata Soo Hyeon dan intonasi suara yang tersekat oleh Hwi Young sewaktu mengarahkan Soo Hyeon supaya kembali dengan selamat seolah-olah ada perasaan yang terbuku di hati.Babak ini mampu dilakonkan dengan cemerlang oleh kedua-dua lead, Yoo Ah In dan Im Soo Jung. 


1) Yoo Ah In - Han Se Joo / Seo Hwi Young [Best Actor] 
Secara jujurnya ini kali pertama saya melihat lakonan Yoo Ah In. Sebelum ini saya hanya mendengar bahawa beliau seorang pelakon yang hebat. Setelah menonton drama ini, benarlah seperti apa yang diperkatakan. Yoo Ah In cemerlang membawakan kedua-dua watak yang boleh dikatakan kompleks. Han Se Joo seorang penulis idol yang mengalami masalah kekeringan idea. Pada awalnya beliau merupakan seorang yang hidup di dalam dunianya sendiri sekan ada tembok yang mengelilinginya dan tidak mudah percayakan orang lain disebabkan oleh suatu penganiayaan yang dilakukan terhadapnya. Namun begitu, sikapnya berubah dengan kehadiran Yoo Jin Oh di dalam hidupnya. Beliau berubah menjadi seorang yang pemaaf dan mula meruntuhkan tembok yang berada di sekelilingnya serta mula menerima kehadiran Jeon Seol yang pada awalnya dianggap sebagai seorang peminat yang tidak diperlukannya. Sebagai Seo Hwi Young pula beliau perlu menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan sebagai pemimpin kepada Joseon Youth Alliance yang terpaksa mengenepikan kepentingan peribadinya. Kedua-dua watak ini dibawakan dengan aura dan karisma yang berbeza seolah-olah ia dilakonkan oleh 2 pelakon yang berlainan. 


2) Im Soo Jung - Jeon Seol / Ryu Soo Hyeon [Best Actress] 
Tidak banyak cabaran untuk membawakan watak Jeon Seol yang sama seperti heroin drama romcom yang lain. Beliau melakonkan watak ini sebagaimana yang dikehendaki tanpa perlu 'overacting'. Walau bagaimanapun, beliau amat cemerlang sebagai Ryu Soo Hyeon, seorang 'sniper' kepada Joseon Youth Alliance yang pada awalnya berselindung di sebalik identiti seorang budak suruhan dan kemudiannya menjadi seorang penyanyi di sebuah kelab malam 'Carpe Diem' yang bernama Anastasia. Kekuatannya adalah dalam melakonkan babak-babak beremosi seperti yang telah saya sebutkan di atas dan hampir kesemua babak tahun 1930an dalam 2 episod terakhir. Kecemerlangannya dalam membawa watak Ryu Soo Hyeon yang 'badass' menjadikannya antara watak heroin yang paling kuat dan diingati di dalam drama Korea. 

 

3) Go Kyung Pyo - Yoo Jin Oh / Shin Yul [Best Supporting Actor] 
Saya telah melihat beliau sebelum ini di dalam Reply 1988 dan Jealousy Incarnate dan mengakui ini merupakan prestasi terbaik beliau. Beliau amat bertuah kerana dapat melibatkan diri di dalam naskhah-naskhah yang hebat ini. Beliau sebagai Yoo Jin Oh berjaya membuatkan kita rasa sayang dan kasihan terhadapnya memandangkan kehadirannya hanya sebagai hantu dan tidak dilahirkan semula seperti 2 rakannya yang lain. Beliau agak baik dalam menggambarkan perasaan dalamannya melalui air mukanya contohnya bagaimana beliau melahirkan rasa keterujaannya apabila Se Joo mula menganggapnya sebagai kawan dan rasa kekecewaannya apabila mula menyedari bahawa Se Joo mula menyimpan perasaan terhadap Jeon Seol. Manakala sebagai Shin Yul, beliau merupakan sahabat yang baik kepada Hwi Young dan merupakan pelindung kepada Soo Hyeon. 4) Kwak Si Yang - Baek Tae Min / Heo Yeong Min Kredit juga perlu diberikan kepada Kwak Si Yang yang membawa watak antagonis dalam kedua-dua era. Sebagai Baek Tae Min, beliau mampu membawakan watak seorang penulis yang psiko yang tidak pernah mengakui kesilapannya sendiri, sebaliknya meletakkan semua kesalahan kepada orang lain termasuk Se Joo, orang yang dikhianatinya. Beliau lebih menyerlah sebagai Heo Yeong Min, seorang agen rahsia Jepun yang mengintip pergerakan musuh-musuh Jepun. Heo Yeong Min seorang yang bijak dan cerdas tetapi menggunakan kecerdasannya untuk mngkhianati negaranya sendiri. Ini jelas dilihat melalui babak di mana beliau melakukan soal-siasat di dalam bilik tahanan. Namun begitu, lakonannya belum cukup kuat untuk mencalonkan beliau di dalam mana-mana kategori.



3. Aspek teknikal (Lakon layar, teknik pengarahan, sinematografi)   (9/10)
Pengarah banyak menggunakan pendekatan 'subtle' di dalam menggambarkan sesebuah babak. Peralihan shot antara babak dalam kedua-dua era dibuat dengan kemas. Set penggambaran juga dibuat dengan teliti. Sesuatu yang menarik dapat dilihat di dalam susunan rak buku di dalam rumah Han Se Joo, di dalam studio menulis Baek Tae Min, di dalam bilik kerja Baek Do Ha (ayah Baek Tae Min) serta di dalam bilik tidur Jeon Seol dan Bang Jin. Penggunaan muzik instrumental [Best Original Score nomination] yang amat sesuai besesuaian untuk menonjolkan mood di dalam sesuatu babak.

 
Sinematografi untuk kedua-dua era amat cantik dan sesuai. Pencahayaan yang lebih cerah digunakan untuk menggambarkan era masa kini yang lebih 'light' manakala era 1930an digambarkan dengan lebih gelap dan 'gloomy' untuk menggambarkan situasi keadaan darurat pada masa itu. Ada beberapa shot untuk tahun 1930an yang dibuat dengan amat cantik contohnya ketika meraikan bakat penulisan Hwi Young di Carpe Diem.

4. Skor muzik (5/5)

1) Writing Our Stories - SG Wannabe
 2) Satellite - SaltnPaper 
3) Time Walk - Boni Pueri
 4) Come With Me - Boni Pueri


5. Kebarangkalian untuk tontonan semula (5/5)

Rating Keseluruhan Drama: (9+10+9+5+5) =38/4=9.5)
Nomination: Yoo Ah In, Im Soo Jung, Go Jung Pyo

Thursday, 20 July 2017

Fight My Way_idakamaruddin

oleh idakamaruddin

Rating Keseluruhan Drama:  (8.5+8+8+4+4) =32.5/4=8.125)


1.  Cerita  (8.5/10)
Drama ini mengisahkan 4 sekawan yg bersahabat dari kecil hingga mereka dewasa, yang tinggal berdekatan dan sentiasa bersama-sama serta mempunyai impian berbeza namun disebabkan kehidupan seorang manusia yang tidak dapat diduga, maka impian dan cita-cita bagaikan terkubur begitu sahaja. Benarkah?

Drama ini dibintangi oleh Park Seo Joon (Ko Dong Man) yang merupakan seorang atlet taekwando dan mewakili negara semasa zaman sekolah tinggi, namun profesyen tersebut bagaikan mati apabila beliau meningkat dewasa disebabkan faktor yang tak dapat dielakkan, niat untuk meneruskan profesyen itu dibiarkan begitu sahaja. Namun disebabkan semangat dan minat yang tak pernah mati beliau berusaha untuk berada dalam sukan ini walaupun pada awalnya mendapat tentangan dari beberapa pihak.

Lain pula cerita untuk watak heroin nya, yang dibintangi oleh Kim Ji Won (Choi Ae Ra), lakonan beliau dalam drama ini sangat mengagumkan. Siapa sangka jalan cerita yang santai mampu dibawa dengan baik dan penonton dapat merasakan begitu dekat dengan watak ini kerana beliau telah “deliver” dengan baik. Kisah beliau sebagai seorang yg garang tapi mempunyai hati yg sangat tulus dan cengeng selain itu beliau seorang yang sangat mengambil berat tentang rakan-rakan nya apabila dia bertindak sebagai “boss” dikalangan mereka berempat . Sama seperti Dong Man, watak Choi Ae Ra juga berusaha mengejar impian sebagai “anchor” namun terlalu banyak onak dan duri untuk menggapai impian tersebut. Nak tahu lebih lanjut? Anda perlu tonton drama ini!!

2.  Keberkesanan Lakonan (8/10)


  • Park Seo Joon – Ko Dong Man


Melakonkan watak sebagai seorang bekas atlet taek wan do, tapi tidak meneruskan kerjaya itu disebabkan cerita duka yang dilaluinya pada 10 tahun lepas. Namun, disebabkan minat yang mendalam serta sokongan dari kawan-kawan serta ex-coach nya yang tidak putus-putus memujuknya untuk kembali maka akhirnya beliau berjaya menjadi seorang atlet MMA yang meningkat naik.

Lakonan PSJ dalam drama ini tidak berapa memberi impak yang kuat disebabkan jalan cerita ini yang sangat santai, maka emosi atau ekspresi wajah yang dipertontonkan beliau dalam drama ini bersahaja sama seperti lakonan beliau dalam drama sebulum ini. Cuma fizikal badan yang berubah disebabkan tuntutan watak sebagai atlet patut diberi pujian.  Selain itu, beliau juga layak untuk di beri kredit diatas “chemistery” yang berjaya bersama  dengan heroin Kim Ji Won untuk drama ini, bagaikan berharap moga mereka bercinta secara real bila diluar lokasi pengambaran

  • Kim Ji Won – Choi Ae Ra (Best Actress)


Melakonkan watak sebagai seorang yang bercita-cita untuk menjadi pengacara ataupun “anchor” namun seperti Dong Man, terlalu banyak halangan serta tuntuan hidup, beliau meneruskan kehidupan seperti orang lain, namun disebabkan minat yang mendalam, beliau berusaha untuk berjaya meletakkan kakinya sebagai seorang “anchor”.
Kali ini pujian dan tepukan gemuruh layak diberikan kepada KJW. Yess…. Lakonan beliau dalam drama ini sangat memukau! Jalan cerita ini memperuntukkan beliau untuk bermain emosi disebabkan personaliti beliau dalam drama ini merupakan seorang yang tabah tapi mempunyai hati yang rapuh, maka scene air mata itu wajib didalam setiap episod. Keserasian dengan tunggak utama dalam drama ini juga patut diberi pujian kerana, mereka melakonkan watak bersama tanpa rasa kekok atau ada “awkward” moment. Syabas!!

  • Ahn Jae Hong – Kim Joo Man (Best Supporting Actor)



Beliau melakonkan watak sebagai seorang Assistant Manager di home shopping mall dan bekerja bersama-sama kekasih nya yang dilakon kan oleh Song Ha Yoon. Mereka bercinta secara rahsia selama mereka bekerja bersama-sama selama 6 tahun. Namun pada suatu hari, hati nya sedikit terusik apabila seorang “intern” jatuh cinta padanya dan berusaha mengambil hati beliau sehingga dia sedikit goyah hingga menyebabkan kekasihnya terasa hati dan meminta untuk berpisah dengannya.

Lakonan beliau  memperuntukkan untuk  bersikap “gentlemen” dan “cool” menyebabkan seorang “intern” tergila-gilakan nya. Selain itu, beliau merupakan seorang pekerja cemerlang namun hati nya yang serba salah untuk memenangi hati kekasih atau kerjaya yang selama ini dianggap sama penting serta keterujaan dirinya untuk dihargai serta impiannya untuk berada lebih tinggi dari apa yang ada sekarang. Namun disebabkan itu, hubungan mereka bagaikan berada dihujung tanduk dan kehidupan beliau berubah apabila mereka berpisah.

  • Song Ha Yoon – Bek Seol Hee


Melakonkan watak sebagai seorang yang sangat lemah lembut dan baik hati, serta terlalu menyayangi kekasihnya serta merupakan seorang wanita yang sangat naïf. Beliau bekerja di tempat yang sama dengan kekasihnya, namun hubungan mereka dirahsiakan selama beberapa tahun mereka bekerja bersama. Namun, pada suatu hari, hubungan mereka goyah apabila seorang “intern” dengan terang memikat kekasihnya dan menyebabkan hubungan mereta retak. Personaliti beliau tiba-tiba berubah selepas mereka berpisah. Siapa sangka wataknya sebelum ini seorang yang sangat polos dan baik serta lemah lembut bertukar kepada seorang wanita yang sangat tegas dan “cold”

3.  Aspek teknikal (Lakon layar, teknik pengarahan, sinematografi)   (8/10)
Anda pasti tak akan percaya cerita santai sebegini tapi ada element surprise juga ye. Dalam drama ini, pengarah/penulis berjaya membuatkan penonton berasa teruja dengan jalan ceritanya, seperti drama korea yang lain, jalan cerita “cliché” itu pasti, namun untuk drama ini, pengarah berjaya “twist” beberapa scene dan membuatkan penonton lebih teruja dan terhibur.
Selain itu, untuk sineatografi drama ini banyak berkisar di kawasan perumahan mereka sahaja serta di gym “buruk” dimana Dong Man dan coachnya berlatih

4. Skor muzik (4/5)

Lagu-lagu OST dalam drama ini sedap didengar dan kena dengan halwa telinga. Yang pasti, OST yang merupakan lagu pembukaan setiap episod sangat catchy dan merupakan pilihan pertama saya ya!

1.Arieband (아리밴드) - Dumbhead
2.Kassy - Good Morning
3. BTOB(Seo Eun Kwang,Lim Hyun Sik,Yook Sung Jae) - Ambiguous


5.  Kebarangkalian untuk tontonan semula (4/5)
Drama yang berkisar romantik komedi seperti ini pasti akan senang untuk ditonton semula!


Rating Keseluruhan Drama: (8.5+8+8+4+4) =32.5/4=8.125)
Nomination: Kim Ji Won & Ahn Jae Hong