Saturday, 22 July 2017

Chicago Typewriter_xyla



CHICAGO TYPEWRITER

oleh xyla


Rating Keseluruhan Drama: (9+10+9+5+5) =38/4=9.5)

Kritik Keseluruhan: "Chicago Typewriter bukanlah drama biasa tetapi ia berada dalam tahapnya yang tersendiri. Usai menonton kesemua episod Chicago Typewriter membuatkan drama-drama lain pada tahun 2017 setakat ini kelihatan agak 'lame'. Chicago Typewriter seumpama hidangan makanan yang kelihatan biasa pada luarannya, tetapi setelah menikmatinya ia memberikan suatu rasa yang luar biasa".


1. Cerita  (9/10)

Secara keseluruhannya, Chicago Typewriter adalah drama yang paling underrated dan terbaik setakat ini bagi saya untuk tahun 2017. Ia sebuah drama yang menggabungkan unsur-unsur romantik, komedi, cinta, persahabatan, misteri, supernatural, fantasi dan sejarah dengan cantik. Plot cerita yang menarik, mutu lakonan yang berada pada kelas tersendiri ditambah dengan sinematografi yang cantik dan OST yang sedap didengar melengkapkan lagi keindahan naskhah ini.  

Plot berkisar mengenai hubungan antara 3 watak utama iaitu Han Se Joo. seorang penulis novel yang digambarkan setaraf Stephen King yang mengalami masalah kekeringan idea ('writer block'), Jeon Seol peminat nombor satu Han Se Joo yang juga seorang doktor haiwan yang handal di dalam sukan menembak tetapi mengalami trauma setiap kali memegang senapang, serta Yoo Jin Oh, hantu yang terperangkap di dalam mesin taip yang dihantar oleh seorang pemilik cyber cafe dari Chicago. 

Menariknya ketiga-tiga watak ini adalah jelmaan 3 orang sahabat karib yang merupakan aktivis sebuah pertubuhan pembebasan daripada penaklukan Jepun pada tahun 1930an iaitu Joseon Youth Alliance pada hayat lampau mereka. Dua plot cerita bergerak serentak iaitu plot pada masa kini yang lebih ringan dan santai serta plot cerita pada era 1930an yang lebih berat. Melalui plot masa kini, penulis mengambil kesempatan ini untuk menyentuh isu-isu dalam bidang penulisan seperti plagiarisme dan penggunaan penulis bayangan ('ghostwriter') yang menyalahi etika penulisan. 


Turut disentuh ialah kesan bahan penulisan kepada masyarakat seperti yang ditonjolkan dalam isu 'stalker' dalam episod 2 dan dilema penulis sama ada menulis mengikut kehendak alur semasa atau mempunyai kebebasan untuk menulis mengikut apa yang mereka kehendaki. Manakala plot untuk era 1930an dilihat lebih menarik kerana memaparkan perjuangan para aktivis yang sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi memerdekakan tanah air mereka untuk generasi akan datang. 

 

Di sinilah kita dapat menikmati inti cerita kepada drama ini. Menyaksikan plot cerita era 1930an yang lebih dramatik umpama menonton sebuah filem 'blockbuster' yang berunsur sejarah. Kedua-dua plot cerita ini mampu digabungkan dan disimpulkan oleh penulis dengan baik berupa pengakhiran yang mantap . 

 Banyak dialog yang memberikan mesej yang bermakna antaranya dialog di antara Han Se Joo dan Yoo Jin Oh semasa 'trio date' mereka bahawa kemakmuran yang dikecapi sekarang adalah hasil daripada perjuangan generasi yang terdahulu dalam menuntut kemerdekaan serta monolog daripada Yoo Jin Oh untuk menghargai masa yang ada sekarang untuk orang-orang tersayang semasa ketiga-tiga mereka menghabiskan masa bersama di rumah Han Se Joo. Banyak momen-momen menarik dan sukar dilupakan terutamanya pada 2 episod terakhir. Babak-babak tahun 1930an yang lebih berat mampu diseimbangkan dengan baik oleh babak-babak komedi yang berlaku pada masa kini. Kesimpulannya Chicago Typewriter bukanlah drama biasa tetapi ia berada dalam tahapnya yang tersendiri. Usai menonton kesemua episod Chicago Typewriter membuatkan drama-drama lain pada tahun 2017 setakat ini kelihatan agak 'lame'. Chicago Typewriter seumpama hidangan makanan yang kelihatan biasa pada luarannya, tetapi setelah menikmatinya ia memberikan suatu rasa yang luar biasa.

                                     
2. Keberkesanan Lakonan (10/10) 

Ketiga-tiga lead (Yoo Ah In,Im Soo Jung dan Go Kyung Pyo) mempamerkan lakonan yang cemerlang terutamanya Yoo Ah In yang membuatkan kita sayang terhadap keenam-enam watak yang mereka lakonkan (setiap seorang dari mereka melakonkan 2 watak). Chemistry trio ini sangat menjadi di dalam kedua-dua era yang mereka lakonkan. Kredit juga diberikan kepada pelakon-pelakon pembantu yang menjayakan watak masing-masing dengan baik. Sesetengah babak memerlukan 'subtle acting' contohnya babak selepas luahan perasaan Ryu Soo Hyeon terhadap Seo Hwi Young sebelum misi terakhir mereka mengenai harapannya jika mereka dilahirkan semula selepas merdeka. Babak diakhiri dengan tangan mereka yang sedikit bersentuhan sewaktu Hwi Young melangkah meninggalkan Soo Hyeon yang secara simboliknya menggambarkan yang dia terpaksa mengorbankan perasaannya terhadap Soo Hyeon pada hayat itu demi melaksanakan misi yang lebih besar. Tiada kata-kata yang mampu diluahkan tetapi melalui air muka mereka sahaja kita dapat merasakan yang mereka berperang dengan perasaan masing-masing. Dengan air mata yang bertakung di kelopak mata Soo Hyeon dan intonasi suara yang tersekat oleh Hwi Young sewaktu mengarahkan Soo Hyeon supaya kembali dengan selamat seolah-olah ada perasaan yang terbuku di hati.Babak ini mampu dilakonkan dengan cemerlang oleh kedua-dua lead, Yoo Ah In dan Im Soo Jung. 


1) Yoo Ah In - Han Se Joo / Seo Hwi Young [Best Actor] 
Secara jujurnya ini kali pertama saya melihat lakonan Yoo Ah In. Sebelum ini saya hanya mendengar bahawa beliau seorang pelakon yang hebat. Setelah menonton drama ini, benarlah seperti apa yang diperkatakan. Yoo Ah In cemerlang membawakan kedua-dua watak yang boleh dikatakan kompleks. Han Se Joo seorang penulis idol yang mengalami masalah kekeringan idea. Pada awalnya beliau merupakan seorang yang hidup di dalam dunianya sendiri sekan ada tembok yang mengelilinginya dan tidak mudah percayakan orang lain disebabkan oleh suatu penganiayaan yang dilakukan terhadapnya. Namun begitu, sikapnya berubah dengan kehadiran Yoo Jin Oh di dalam hidupnya. Beliau berubah menjadi seorang yang pemaaf dan mula meruntuhkan tembok yang berada di sekelilingnya serta mula menerima kehadiran Jeon Seol yang pada awalnya dianggap sebagai seorang peminat yang tidak diperlukannya. Sebagai Seo Hwi Young pula beliau perlu menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan sebagai pemimpin kepada Joseon Youth Alliance yang terpaksa mengenepikan kepentingan peribadinya. Kedua-dua watak ini dibawakan dengan aura dan karisma yang berbeza seolah-olah ia dilakonkan oleh 2 pelakon yang berlainan. 


2) Im Soo Jung - Jeon Seol / Ryu Soo Hyeon [Best Actress] 
Tidak banyak cabaran untuk membawakan watak Jeon Seol yang sama seperti heroin drama romcom yang lain. Beliau melakonkan watak ini sebagaimana yang dikehendaki tanpa perlu 'overacting'. Walau bagaimanapun, beliau amat cemerlang sebagai Ryu Soo Hyeon, seorang 'sniper' kepada Joseon Youth Alliance yang pada awalnya berselindung di sebalik identiti seorang budak suruhan dan kemudiannya menjadi seorang penyanyi di sebuah kelab malam 'Carpe Diem' yang bernama Anastasia. Kekuatannya adalah dalam melakonkan babak-babak beremosi seperti yang telah saya sebutkan di atas dan hampir kesemua babak tahun 1930an dalam 2 episod terakhir. Kecemerlangannya dalam membawa watak Ryu Soo Hyeon yang 'badass' menjadikannya antara watak heroin yang paling kuat dan diingati di dalam drama Korea. 

 

3) Go Kyung Pyo - Yoo Jin Oh / Shin Yul [Best Supporting Actor] 
Saya telah melihat beliau sebelum ini di dalam Reply 1988 dan Jealousy Incarnate dan mengakui ini merupakan prestasi terbaik beliau. Beliau amat bertuah kerana dapat melibatkan diri di dalam naskhah-naskhah yang hebat ini. Beliau sebagai Yoo Jin Oh berjaya membuatkan kita rasa sayang dan kasihan terhadapnya memandangkan kehadirannya hanya sebagai hantu dan tidak dilahirkan semula seperti 2 rakannya yang lain. Beliau agak baik dalam menggambarkan perasaan dalamannya melalui air mukanya contohnya bagaimana beliau melahirkan rasa keterujaannya apabila Se Joo mula menganggapnya sebagai kawan dan rasa kekecewaannya apabila mula menyedari bahawa Se Joo mula menyimpan perasaan terhadap Jeon Seol. Manakala sebagai Shin Yul, beliau merupakan sahabat yang baik kepada Hwi Young dan merupakan pelindung kepada Soo Hyeon. 4) Kwak Si Yang - Baek Tae Min / Heo Yeong Min Kredit juga perlu diberikan kepada Kwak Si Yang yang membawa watak antagonis dalam kedua-dua era. Sebagai Baek Tae Min, beliau mampu membawakan watak seorang penulis yang psiko yang tidak pernah mengakui kesilapannya sendiri, sebaliknya meletakkan semua kesalahan kepada orang lain termasuk Se Joo, orang yang dikhianatinya. Beliau lebih menyerlah sebagai Heo Yeong Min, seorang agen rahsia Jepun yang mengintip pergerakan musuh-musuh Jepun. Heo Yeong Min seorang yang bijak dan cerdas tetapi menggunakan kecerdasannya untuk mngkhianati negaranya sendiri. Ini jelas dilihat melalui babak di mana beliau melakukan soal-siasat di dalam bilik tahanan. Namun begitu, lakonannya belum cukup kuat untuk mencalonkan beliau di dalam mana-mana kategori.



3. Aspek teknikal (Lakon layar, teknik pengarahan, sinematografi)   (9/10)
Pengarah banyak menggunakan pendekatan 'subtle' di dalam menggambarkan sesebuah babak. Peralihan shot antara babak dalam kedua-dua era dibuat dengan kemas. Set penggambaran juga dibuat dengan teliti. Sesuatu yang menarik dapat dilihat di dalam susunan rak buku di dalam rumah Han Se Joo, di dalam studio menulis Baek Tae Min, di dalam bilik kerja Baek Do Ha (ayah Baek Tae Min) serta di dalam bilik tidur Jeon Seol dan Bang Jin. Penggunaan muzik instrumental [Best Original Score nomination] yang amat sesuai besesuaian untuk menonjolkan mood di dalam sesuatu babak.

 
Sinematografi untuk kedua-dua era amat cantik dan sesuai. Pencahayaan yang lebih cerah digunakan untuk menggambarkan era masa kini yang lebih 'light' manakala era 1930an digambarkan dengan lebih gelap dan 'gloomy' untuk menggambarkan situasi keadaan darurat pada masa itu. Ada beberapa shot untuk tahun 1930an yang dibuat dengan amat cantik contohnya ketika meraikan bakat penulisan Hwi Young di Carpe Diem.

4. Skor muzik (5/5)

1) Writing Our Stories - SG Wannabe
 2) Satellite - SaltnPaper 
3) Time Walk - Boni Pueri
 4) Come With Me - Boni Pueri


5. Kebarangkalian untuk tontonan semula (5/5)

Rating Keseluruhan Drama: (9+10+9+5+5) =38/4=9.5)
Nomination: Yoo Ah In, Im Soo Jung, Go Jung Pyo

No comments:

Post a Comment