Thursday, 14 September 2017

Falsify / Fabrication _ daus

FALSIFY

Rating Keseluruhan Drama:  (9.2+9.4+8.0+2+2.5) =31.1/4=7.78)

Kritik Keseluruhan: "Kehipokritan media dalam memanipulasikan kenyataan dan memalsukan kebenaran menjadikan Falsify sebuah drama yang berat dengan mesej dan wajar ditonton. Seolah-olah anda kagum dengan kebenaran yang diselongkar wartawan dalam filem yang memenangi Oscar, Spotlight, Falsify sebaliknya membuatkan anda 'kagum' dengan kelicikan mereka yang menyalahguna media untuk kepentingan sendiri."

1. Cerita  (9.2/10)
Media dijadikan sebagai “bayangan” dalam merealisasikan kerja-kerja kotor oleh pihak yang berkepentingan. Ianya dijadikan satu cabang propaganda yang efisien sehingga mengubah persepsi orang ramai dalam sekelip mata. Isu yang diutarakan drama SBS Falsify lebih kepada “berita-berita semasa” yang diubahsuai dan disensasikan bagi memacu perhatian orang ramai supaya ianya harus ditegakkan. Contohnya, apabila berita tentang seseorang bunuh diri, media boleh memanipulasikan kenyataan berkenaan daripada sudut persepsi negatif tentang sebab kematiannya tanpa perlu risau tentang kredibiliti & laras bahasa digunakan. Kesannya, orang ramai yang membaca akan membenci kenyataan tersebut. Bak kata pepatah digunakan dalam drama ini,  “Wartawan ialah benak fikiran yang akan memimpin dan memacu peperangan”


Namun, dari pihak yang lain pula, masih ingin menegakkan ketidakadilan untuk memperbetulkan peranan media yang sepatutnya menyampaikan kebenaran dengan bersandarkan pada prinsip sendiri.

Permainan menjatuhkan antara satu sama lain semenangnya menjadikan drama itu lebih menarik. Syarikat akhbar Daehan berterusan memalsukan kenyataan dibuat oleh syarikat akhbar Aeguk. Kedua-duanya bertujuan untuk mendapatkan sokongan orang ramai tentang isu mereka mahu tegakkan. Kehadiran “Splash Team” bernaung di bawah Daehan telah mengimbangi, dan seterusnya menyelongkar apa yang CEO Daehan ingin sembunyikan di hadapan orang ramai.

Antara strategi menarik dimainkan pihak lawan adalah di dalam Episod 11 dan 12 (21 -24  di cenel SBS Korea) di mana pihak lawan telah mengaburi mereka dengan maklumat disampaikan kepada mereka ‘secara tak langsung’, dalam pada masa yang sama, menjayakan misi yang tak dapat diduga pihak seterusnya itu.

Pengakhiran juga tidak menampakkan sangat cerita tergantung tapi sedikit kekeliruan timbul tentang sesuatu plot bagaimana ia bersambungan antara satu sama lain. Ada kelopongan antara plot tersebut menyebabkan tertinggal sesuatu adegan yang patut dimuatkan dalam cerita. Contohnya peralihan adegan terakhir episod 31 di mana strategi daripada kumpulan Splash dengan memuatnaikkan iklan ke dalam surat akhbar Daehan kepada adegan awal episod 32 iaitu perjumpaan Lee Suk Min dan Han Mu Yong dengan 'whistblower' tersebut tidak dilakukan dengan berkesan. Ada ruang kosong perlu diperjelaskan.


2. Keberkesanan Lakonan (9.4/10)


Nam Goong Min - Han Mu Yong
Ada sedikit kekecewaan dengan persona lakonan yang dibentuk Nam Goong Min selaku Han Mu Yong.Misi utama Han Mu Yong adalah untuk membalas dendam terhadap kematian abangnya yang disifatkan sangat meragukan. Han Mu Yong tinggalkan sukan taekwondo lalu memutuskan menjadi wartawan Aeguk.  Dengan menggunakan cara yang bukan ortodoks, akhbar Aeguk akan membongkar apa saja pihak media lain cuba sembunyikan. Kesungguhan Han Mu Yong untuk menegakkan kebenaran mula berbangkit apabila menyedari artikel-artikel yang dinukilkan abangnya sebelum ini telah memalsukan pelbagai fakta senario politik. Tapi, gaya bentuk badan dan postur bentuk badan agak mengganggu ketrampilan dibina ke atas Han Mu Yong selain Han Mu Yong 'nampak' lemah dari semua perlakuan yang memungkinkan dia melaksanakan misi tersebut.


Uhm Ji Won - Kwon So Ra
Kwon So ra lebih pada pendakwaraya yang bertugas untuk memastikan misi Han Mu Yong tercapai. Tiada apa boleh dikritik menerusi watak lakonan aktress ini.


Moon Seun Gyun - CEO Daehan - Gu Tae Won [Best Supporting Actor]
Moon Seun Gyun semenangnya meninggalkan impressi yang amat mengagumkan selaku CEO akhbar Daehan yang licik,  berkarisma dan penuh dengan tipu helah. Ini merupakan ‘comeback’ beliau dalam drama arena drama sejak 8 tahun yang lalu. Strateginya dalam menggunakan Daehan untuk memanipulasikan “fakta” dan menggelapkan kenyataan akhbar yang lain telah menyebabkan plan Han Mu Yong  dan kumpulan “Splash” selalunya gagal. Beliau juga akan mengarahkan penerbitan kenyataan akhbar terlebih dahulu sebelum sesuatu misi dilaksanakan.


Yoo Jun Sang - Ketua editor Splash Team - Lee Suk Min [Best Supporting Actor]
Kehebatan watak Lee Suk min tak dibangkitkan pada mulanya, tapi ia mula menyerlah apabila strateginya dalam menjatuhkan CEO Daehan berbuah hasil.  Yoo Jun Sang menampakkan Lee Suk Min seolah-olah "cool" dalam menghadapi tentangan dan tekanan dari pelbagai penjuru dalam keadaan dirinya strategis dan tenang di hadapan musuh. Antara lakonan yang layak untuk mendapat pencalonan.

3. Aspek teknikal (Lakon layar, teknik pengarahan, sinematografi)   (8.0/10)
[Best Cinematography]
Sedikit pujian diberikan pada pengarah memainkan konsep "abstrak" dalam membentangkan plot adegan yang seterusnya. Banyak cuba disembunyikan menjadikan drama ni masih kekal misteri walaupun sudah sampai ke penghujung. Adegan "flashback" sengaja dihitamkan memberikan signifikan tentang plot yang ingin diajukan. Dialog yang digunakan mengenai peranan media, juga sesuatu yang memorable dan pandai dieksplorasi pengarah ini.

Di akhir cerita, CEO Daehan keluar daripada pejabatnya apabila dia dimalukan juniornya. Kamera ditunjukkan pada motto syarikat yang tertera, "Sentiasa tahu yang salah daripada yang betul" menunjukkan betapa hipokrit nya media dilaung-laungkan selama ini.

Pujian lain harus diberikan pada sinematografi yang mantap terutamanya setiap keadaan pejabat ditunjukkan dalam drama ini. Beza sinematografi yang sangat jelas tentang pejabat CEO Daehan yang tampak kemas tapi kelam, keadaan pejabat Splash Team yang kosong tapi tampak ceria dan bermotivasi mencari kebenaran serta keadaan pejabat Aeguk yang kurang ceria dan berserabut dengan tunggakan kerja.

Apapun, kelemahan teknikal adalah dari segi "suntingan" , yang bagi saya , telah menyebabkan kekeliruan dalam banyak aspek. Pengarah harus berwaspada untuk menjadikan suntingan mereka lebih elok dan bertepatan dengan plot yang ingin dibentangkan.


4. Skor muzik (2/5)
Tiada yang boleh dingati tentang skor muzik dimainkan.

5. Kebarangkalian untuk tontonan semula (2.5/5)
Drama ini sekadar sesuai untuk pembelajaran tapi untuk keseronokan mungkin tidak.

Rating Keseluruhan Drama:  (9.2+9.4+8.0+2+2.5) =31.1/4=7.78)
Nomination: Moon Seun Gyun, Yoo Jun Sang

No comments:

Post a Comment