Thursday, 17 November 2016

K2_daus

K2
by daus






Rating Keseluruhan Drama:  (7.3+7.7+9.2+3.7+2) =29.9/4=7.48)


Kritik Keseluruhan: "K2 pandai menterjemah bait-bait korupsi dan salah guna kuasa dalam bentuk aturan plot yang suspens dan mendebarkan diselangi dengan aksi 'stunt' yang boleh dipuji ke atas keberkesanannya dibantu dengan lakonan kleptrokrasi yang hebat daripada Song Yun Ah terutamanya dan aksi 'stunt' konsisten daripada Ji Chang Wook.  Namun begitu, suntikan elemen percintaan yang tak kena mengena ke atas plot menjadikannya carca marba kerana lari daripada tema asal, lalu menyebabkan naskah ini jelik di sesetengah babak, dan akhirnya tak memberi kepuasan yang diharapkan.  "

1. Cerita  (7.3/10)

K2 dimulakan dengan bagaimana agen yang dibuang negara, KIm Jae Ha (K2) terbabit dalam konfrontasi antara Choi Yi Jin yang menyokong suaminya, Jang Se Joon dengan Park Kwan Soo dalam merebut jawatan tertinggi negara, iaitu presiden. Kontrontasi tidak hanya melibatkan ugutan, tapi sehingga berbunuh-bunuhan di mana penyelewengan digunakan untuk menjatuhkan pihak lawan. K2 adalah saksi terhadap skandal seks Jang Se Joon, yang bakal menjadi bahaya untuk reputasi mereka suami isteri, menyebabkan Choi Yi Jin mencari K2 sampai ke lubang cacing untuk membunuhnya. Takdir pertemukan mereka pertama kali dengan pistol K2  yang diacukan ke arah Choi Yi Jin. Ugutan dilakukan K2 ke atas Choi Yi Jin sehingga membawa mereka ke titik bahaya di mana disitulah Choi Yi Jin mula meletakkan kepercayaan pada K2.

K2 dilantik sebagai agen rasmi dibawah kendalian JSS yang dipengerusikan Choi Yi Jin. Choi Yi Jin membuat perjanjian dengan K2 bahawa dia sendiri akan membunuh Park Kwan Soo manakala K2 akan memberikan laluan kepadanya. Di sini jua, K2 didedahkan "Mirror", sebuah superkomputer inteligen yang boleh memberikan apa saja maklumat di seluruh dunia dan ianya hanya boleh diakses oleh Choi Yi Jin. "Mirror" terletak di dalam kubu "Cloud 9" di paras tingkat paling bawah sekali dan akses ke tingkat tersebut hanya diberikan kepada orang yang dipercayai Choi Yi Jin.

K2 hilang motif hidupnya setelah dipertemukan dengan Go Anna apabila diberi tugas menjaganya sehariannya. K2 mula jatuh cinta dan ini membuatkannya menghadapi dilema antara ingin menyelamatkan Go Anna daripada Choi Yi Jin atau kekal bernaung menjadi orang suruhan Choi Yi Jin. K2 memilih jalan pertama.

Di pengakhiran cerita yang mana pilihanraya presiden semakin hampir, konfrontasi antara kedua-dua pihak semakin ketat. Ugutan dilakukan berulang-ulang kali sehingga membawa kepada kematian. Tiada yang boleh dipuji kerana mereka yang terbabit dalam konfrontasi ini mati begitu sahaja, manakala Kim Jae Ha (K2) dan Go Anna hidup bahagia. Lagi, kerana tema yang lari dan motif hero yang bertukar arah, ianya sangat kaget untuk menerima mereka yang bersusah-payah  memuaskan penonton tetapi tiada justifikasi yang memungkinkan mereka selayaknya diberikan pengakhiran begitu.

Watak Go Anna yang tak konsisten juga banyak membantutkan plot cerita ini samada sepatutnya dikasihani ataupun selayaknya dihumban mati. Dan, K2 beria mengabaikan motif hidupnya gara-gara Go Anna juga tak dijelaskan dengan baik dan hambar sehingga meninggalkan kesan tak memuaskan.

2. Keberkesanan Lakonan (7.7/10)
Lakonan

Ji Chang Wook
Lakonan 'badass' K2 yang okay, tetapi tak cukup untuk diterima dalam pencalonan. Ianya tak banyak lari daripada watak lakonannya dalam 'Healer'.

Song Yun Ah - [Best  Actress]
Lakonan  kleptokrasi, salah laku, dan manipulatif yang dipamerkan dengan ekspresi dan gaya tubuh yang sangat memberangsangkan. Song Yun Ah menjiwai watak Choi Yi Jin dengan baik sekali sehingga meninggalkan impresi sangat kuat untuk membiarkan watak Choi Yi Jin terus kekal hidup meneruskan aktiviti kotornya daripada selayaknya dimatikan.  Antara lakonan yang 'stunning' tapi tak terlalu menonjol.

Yoona
Yoona menunjukkan transisi lakonan baik di awalan cerita berbanding drama sebelumnya. Namun, kerana ketidakkonsisten watak Go Anna antara hidapi penyakit sosial atau berpura-pura atau naif atau nak jadi segigih dan kuat hadapi cabaran , ianya mempersoalkan kredibiliti Yoona dalam menjadikan Go Anna satu watak penting atau sekadar 'filler'.

3. Aspek teknikal (Lakon layar, teknik pengarahan, sinematografi)   (9.2/10)
K2 menjanjikan kepuasan berterusan kerana teknik pengarahan yang berlandaskan suspens ('thriller'). Kamera sengaja digoyangkan untuk menunjukkan drama berada dalam keadaan 'berlangsung'. Pencerahan lampu diminimakan untuk memberikan intonasi krisis yang berlaku di luar pengetahuan manusia di luar. Aksi berlawanan K2 juga dipamerkan dengan sinematografi yang mantap. Walaupun adegan kebanyakannya berlangsung beberapa minit dalam satu tempat atau blok bangunan, ianya masih cukup untuk menekankan penonton terus menyaksikan babak tersebut. Kamera yang memfokuskan ekspresi muka Choi Yi Jin terutamanya, memakukan ketegangan drama ini.

[Nomination for Best  Cinematograhy]

4. Skor muzik (3.7/5)

OST tak banyak membantu, tetapi instrumental dengan bunyi 'choir' menaikkan sentimen ketegangan drama ini. Boleh dikatakan skor muzik instrumental mengembalikan skop tema drama ini ke arah landasan yang betul.
[Nomination for Best  Original Score]





5. Kebarangkalian untuk tontonan semula (2/5)
Mungkin takkan tengok buat masa sekarang.

Rating Keseluruhan Drama:  (7.3+7.7+9.2+3.7+2) =29.9/4=7.48)
Nomination: Song Yun Ah

No comments:

Post a Comment